Perlahan jari jemari mengetuk papan kekunci laptop berwarna merah hati. Sesekali merenung jendela di sebelah. Sunyi. Terasa bahangnya malam ini. Mahu hujan seperti hari semalam. Barang kali. Jam di laptop kecil ni menggambarkan malam sudah dinihari. Mujur esok masih bercuti. Cuma kerja-kerja masih belum diberesi. Tugas yang belum beres menyebabkan telefon berdering tanpa henti. Seolah dileteri pula. :-)
Menulis blog umpama bercerita dengan teman paling akrab. Tanpa segan. Tanpa ada apa yang perlu disorok. Tiada rahsia. Semua mampu dikongsi tanpa rasa dibatasi dengan perasaan. Barangkali malu. Mungkin juga tidak jujur. Tapi dengan teman ini semuanya ikhlas. Tiada hijab.
Sempena 1 Jun ini, saya lebih gemar meladeni teman akrab saya ini. Teman paling setia untuk mendengar segala rintihan hati. Tidak pernah mempersoalkan apatah lagi membentak setiap bicara yang terlontar.
Sempena 1 Jun ini juga, mengapa mesti ada rasa sayu di hati? Saya cuba mencari punca. Masih tidak ketahuan. Jiwa rasa ini berbolak-balik. Saya cuba buang jauh-jauh. Di saat ini, saya mula tercari-cari juzuk-juzuk kebahagiaan untuk episod perjalanan hidup saya yang mendatang. Mencari diri juga masih di dalam siri pelayaran saya di bumi Allah ini. Sungguh, dalam diam tiada malu saya untuk mengharapkan sinar hidayah yang bernilai syurga. Amin Ya Rabb.
Alhamdulillah. 1.6.2011..Hari ini adalah perubahan angka 0 kepada 1 pada umur saya. Apakah nombor ini akan membawa perubahan ke dalam keseluruhan hidup saya atau saya perlu hadapi kehidupan ini di takuk lama tanpa banyak soal.
Apa yang pasti, terkadang kesabaran saya teruji. Sering kali perasaan saya berbolak-balik. Sama ada ingin terus mengayuh sampan menyusuri arus atau sebaliknya. Sungguh, saya cuma manusia biasa. Kadangkala terikut juga dengan bisikan-bisikan dan campur tangan 'makhluk' itu. Namun saya perlu sedar dan berpatah balik. Mujur masih ada berbaki iman.
Saya risau juga jika hati saya begitu tegar untuk melawan. Saya risau juga jika tembok kesabaran saya menjadi rapuh dan tidak betah lagi bertahan seperti dulu. Saya hanya mampu berdoa semoga saya dibekalkan dengan redha di hati. Dengan setiap ujian yang Allah beri.
"Ya Allah, andai itu ketentuan untuk kami, redhakanlah hati-hati kami. Andai itu suratan untuk kami, permudahkanlah urusan-urusan kami. Sesungguhnya kami juga sangat memerlukan sesuatu kebaikan menurut pandangan-Mu"
Alhamdulillah. Syukur. Saya masih lagi mempunyai teman-teman yang mengingati saya. Terima kasih atas ingatan, ucapan bersama iringan doa kalian. Doakan saya bertambah tabah mengharungi setiap ujian hidup yang mendatang. Saya harap saya akan dapat lagi ucapan dan doa-doa sebegini dari kalian pada hari lahir saya tahun depan. ^_^
Nota kaki:
1. Selamat Menyambut Hari Lahir wahai haidaNi
2. Doakan saya semoga saya kekal tabah dan redha dalam apa jua ujian yang Allah beri
Alhamdulillah. Syukur. Saya masih lagi mempunyai teman-teman yang mengingati saya. Terima kasih atas ingatan, ucapan bersama iringan doa kalian. Doakan saya bertambah tabah mengharungi setiap ujian hidup yang mendatang. Saya harap saya akan dapat lagi ucapan dan doa-doa sebegini dari kalian pada hari lahir saya tahun depan. ^_^
Nota kaki:
1. Selamat Menyambut Hari Lahir wahai haidaNi
2. Doakan saya semoga saya kekal tabah dan redha dalam apa jua ujian yang Allah beri
No comments:
Post a Comment