Sunday, July 17, 2011

Naskah itu.



Terus-terang

Sementelah momentum interaksi saya  di alam maya sedang menurun, saya mahu duduk diam-diam dalam realiti. Berkosentrasi meladeni karya “Indahnya Hidup Tanpa Derita”.

Sebenarnya, berbulan-bulan saya berhajat mahu memiliki senaskah karya seumpama ini. Jika dahulu seorang sahabat ada berbisik memperkenalkan sebuah buku “Laa Tahzan”.  Bagi saya, kandungannya sama saja. Sudah pasti berkisarkan tentang sinar kebahagiaan yang dicari-cari.  Cuma mungkin pendekatan dan olahannya saja yang berbeza.

Harapan perkahwinan sudah pastinya ingin mengekalkan kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Sekalipun matlamat dan harapan cukup jelas, ramai yang gagal meramal atau menjangka laluannya tidak semudah yang disangka.

Hakikatnya, jika yang diinginkan ialah kebahagiaan, sudah tentu yang diuji adalah ketahanan dan pengorbanan setiap individu yang inginkan kebahagiaan tersebut. Kebahagiaan itu bukan anugerah. Juga bahagia bukan sesuatu yang boleh diwarisi dari sesiapa. Ia perlu diusahakan. 

Laluan kebahagiaan itu perlu difahami, teknik dan strategi perlu dipelajari, rintangan dan halangan perlu dijangka lebih awal, persediaan mental, fizikal dan kejiwaan perlu sentiasa dibina dan ditingkatkan, kemahiran asas dan tambahan perlu dipelajari, petua dari yang orang yang berjaya dan berpengalaman perlu sentiasa dituntut dan yang penting sekali perhubungan dengan Yang Maha Berkuasa perlu sentiasa dihidupkan.

Untuk keluar daripada kegelapan bukan dengan cara mengharapkan kegelapan itu hilang dari pandangan mata, tapi perlu membawa cahaya masuk ke dalam ruang yang gelap itu. Dan itu adalah usaha.

Sikit-sikit saya cuba kaitkan dengan kata-kata seorang sahabat. Apa yang berlaku di sekeliling  kita telah tersurat, langkah demi langkah semuanya di dalam aturanNya. Namun, siri pencarian untuk  kebahagiaan diri sendiri masih tetap perlu diusahakan. Termasuk doa dan tawakal. Dan akhir sekali Allah lah pembuat segala keputusan. Semoga saya dapat mempelajari sesuatu.

Kadang-kadang saya merasakan dugaan sayalah yang paling besar. Sedangkan ada banyak lagi orang lain yang diuji dengan dugaan yang jauh lebih dahsyat. Seorang sahabat pernah mengingatkan saya tentang ujian Allah adalah berdasarkan kemampuan hamba-hambaNya. Ingatlah wahai haidaNi..Allah tidak pernah kejam.

Nota kaki:
* Isteri solehah di sisi Allah selayaknya diberi ganjaran syurga. Sementara syurga itu adalah tempat orang yang juga mendapat tempat disisi Allah.

Orang yang mendapat tempat disisi Allah pula bukanlah orang yang sembarangan, bukan orang yang kalah bila diuji, yang melatah bila ditimpa kesusahan dan putus asa bila diuji dengan kesabaran.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...