Selamat Hari Lahir haidaNi |
Selamat Menyambut Hari Lahir yang ke-30 buat diri saya. Alahai.. nampaknya dah berganjak angka di rumah puluh. Semakin menaik dan tidak pula pernah menurun. Tidak juga boleh dikembalikan kepada kosong.
Sepanjang umur menjangkau ke angka ini, tidak mungkin saya lupakan pengalaman yang banyak sekali mengajar diri tentang erti kehidupan. Sesekali terasa takut untuk terus melangkah. Sesekali rasa berdebar.
Bengkang bengkok perjalanan hidup yang saya sendiri corakkan mungkinkah akan berakhir? Laluan sukar kehidupan yang saya caturkan bolehkah saya tolak ke tepi? Semuanya berlegar-lengar dalam kotak fikiran. Sentiasa bermain-main dan menerawang dengan coraknya tersendiri.
Alhamdulillah.. tika dan saat ini, mesej-mesej kalian masih sudi lagi menjengah seperti tahun-tahun sudah. Terima kasih yang tak terhingga kerana masih mengingati walau sekelumit. Rasa beruntung dan bertuah kerana kalian menghargai kehadiran saya dalam hidup kalian. Terima kasih juga atas doa-doa yang dipanjatkan. Semoga doa-doa kalian dimakbulkan Allah dan saya akan cuba yang terbaik untuk melengkapi diri yang tidak sempurna ni. Insyaallah.